unseen enemy.


Dia terjaga. Allahu sudah berhari-hari subuhku di hujung waktu. Bingkas dia bangun mengambil wudhu' dijeling sesekali ke arah jam dan cahaya samar-samar dari tingkap bilik tidurnya. Mengharap matahari belum menebar cahaya agungnya, mengharap juga waktu shuruq belum tiba. 

Dia terjaga. Astaghfirullah. Habis dayanya mengumpul tumpuan untuk memulakan ibadah pertamanya untuk hari ini. Sudahnya berwudhu' tadi lupa sekali dia tentang niat suci lillahi taala. Terlalu pantas wudhu'nya sederas air dari pili. 

Dia terjaga. Niat solat subuhnya dihidupkan sehidup rasa. Ini permulaan hari baruku. Takbir diangkat penuh erti, mengharap Tuhan tersenyum akan ucapan 'Allah maha besar' yang terlafaz halus dari bibirnya. 

Dia terjaga. Ar-Rahman Ar-Rahim. Yang maha pemurah yang maha mengasihani. Hatinya tertunduk malu memuji RabbNya khusyuk sepenuh jiwa meletakkan pujian hanya untukNya. Dia mengharap redha Tuhannya hadir menyapanya pagi ini. 

Dia terjaga. Ini adalah saat terindah. Dalam sujudnya terimbas kembali mimpi dari tidur malamnya. Berdetik hatinya agar Tuhan memelihara insan-insan di dalam mimpi itu. Kerana maha tinggi dan agung Tuhan hanya Dia-lah mengubati segala rasa. 

Dia terjaga. Allahu, hanya beberapa saat aku mampu fokus dalam solatku. Istighfarnya diperdalami, merasakan Tuhan benar-benar melihat dan mendengar kekerdilannya memohon keampunan atas kelekaannya di dalam solat pagi ini. 

Dia terjaga. Dia mengusap perlahan dadanya, seperti cuba menjinakkan gerak hati. Permainan emosi ini terlalu banyak, dan syaitan tidak terlepas daripada memanipulasikannya. Halus taktiknya, merosakkan permulaan amalku dinihari. 

Dia terjaga. Sehebat mana makhluk itu menyerangnya, dia terus tersenyum, kerana terlalu pasti dia juga sedang bertempur bersaksikan Tuhannya. Tingkap biliknya dibuka seluasnya. Langit mula kebiruan semakin cerah. Zikir pagi mula berbisik ditemani alam. Indah.




- jika ada makhluk yang terlalu aktif dan tersusun lagi teratur rencananya dalam membuat manusia leka tentang RabbNya, apakah seharusnya manusia terus-terusan hidup tanpa ada rencana untuk mengejar RabbNya? -

FirmanNya, syaitan tidak akan sesekali mampu menguasai hamba-hambaNya. 

Comments

Popular Posts